GEORGE TOWN – Tiga keluarga yang terdiri daripada lapan penghuni termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan dua tahun berlari sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Baru, Ayer Itam di sini terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sempat menyelamatkan diri sebelum rumah yang dibahagikan kepada empat pintu tersebut hangus dijilat api.
Kebakaran dikatakan berlaku ketika semua penghuni terbabit berada di dalam rumah separa kayu itu dan susulan kebakaran itu, barangan peribadi termasuk pakaian juga dipercayai turut terbakar.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Tarmizi Md. Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.15 pagi tadi dan tiba kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat kelas B dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 90 peratus.
“Lapan penghuni termasuk dua kanak-kanak lelaki dan perempuan terselamat dalam kejadian kebakaran itu. Mereka berlari sehelai sepinggang keluar dari rumah masing-masing.
“Pasukan bomba mengambil masa selama setengah jam untuk mengawal api kebakaran tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.
Jelasnya lagi, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Bagan Jermal dan Pasukan Bomba Sukarela berdekatan.
Beliau menambah, punca kebakaran dan nilai kerugian yang dialami masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – K! ONLINE