LONDON – Bintang tenis Australia, Ashley Barty membuat keputusan untuk tidak menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas bimbang dengan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.
Pemain di ranking No.1 dunia tersebut mengakui selain kejohanan di AS, dia juga masih belum memutuskan untuk mempertahankan gelaran Grand Slam Terbuka Perancis yang diraihnya tahun lalu.
Jelasnya, keputusan itu terpaksa dibuat kerana enggan mengambil risiko serta mengutamakan kesihatan diri dan pasukannya.
“Saya dan pasukan telah memutuskan bahawa kami tidak akan berlepas ke AS untuk menyertai kejohanan Grand Slam tahun ini.
“Meskipun ia merupakan keputusan yang sukar tetapi ia terpaksa dilakukan kerana di AS masih ada risiko yang besar mengenai Covid-19.
“Saya tidak selesa untuk meletakkan pasukan dalam keadaan bahaya. Saya berharap dapat kembali ke AS tahun depan. Mengenai Terbuka Perancis dan Kejohanan WTA Eropah, saya akan buat keputusan tidak lama lagi,” katanya.
Terbuka AS yang dijadualkan pada 1 hingga 13 September di New York itu diadakan tanpa kehadiran penonton dan dikawal ketat kemasukannya. – AGENSI