JAKARTA – Ketua Pejabat Wilayah Kementerian Agama Sulawesi Selatan, Khaeroni memberitahu bahawa sebuah kabupaten (daerah) iaitu Bantaeng di wilayah tersebut memiliki tempoh menunggu giliran mengerjakan haji paling lama di Indonesia iaitu 44 tahun.
Menurut laporan portal berita Suara.com semalam, selain kabupaten Bantaeng, tempoh menunggu bakal jemaah di tempat lain adalah mengikut jangkaan normal republik itu iaitu sekitar 31 tahun.
Khaeorni berkata, sejak penularan wabak Covid-19 setahun yang lalu, pihaknya giat menjalankan kempen mendaftar haji yang banyak tertangguh.
“Selain itu, kami juga aktif dalam memberikan bimbingan dan demonstrasi buat calon jemaah melalui program ibadat haji sepanjang tahun.
“Sebagai langkah menyesuaikan diri dengan kemungkinan menunaikan haji dalam keadaan pandemik, jabatan agama juga menerapkan peraturan mematuhi protokol kesihatan dalam usaha memutuskan rantaian penularan ketika beribadat apabila beberapa masjid mula dibuka baru-baru ini,” katanya dalam laporan kepada Menteri Agama, Yaqut Cholil Quomas.
Dalam pada itu, Yaqut turut meminta Wisma Shafa Asrama Haji Sudiang Makassar dan Bangunan Pusat Khidmat Haji dan Umrah (PLHUT) Bersepadu di Kabupaten Bulukumba, Sulawesi Selatan berfungsi sebagai medium penyebaran Islam Washatiyah atau kesederhanaan agama.
Beliau menyentuh tentang kejadian pengebom bunuh diri di depan Gereja Katedral Makassar baru-baru ini dengan mengatakan bahawa kejadian itu merupakan kesan daripada i pemahaman agama hanya melalui buku semata-mata.
“Ini adalah cabaran bagi kita dan terutama pemimpin agama agar masyarakat tidak hanya memahami ajaran agama secara teks. Oleh itu, kempen kesederhanaan agama mesti dijalankan secara intensif,” katanya. – Agensi