MILAN – Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Itali yang berlangsung pada 4 September ini di Litar Monza diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton ekoran penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan di dunia.
Itali negara kelima yang mencatatkan kematian tertinggi setakat ini dengan 35,129 kematian dan merekodkan 246,776 kes jangkitan pandemik tersebut.
Penganjur perlumbaan GP Itali menegaskan bahawa mereka akan mengembalikan semula duit tiket sepenuhnya kepada penonton mereka tidak lama lagi.
“GP Itali yang berlangsung pada 4 hingga 6 September di Autodromo Nazionale Monza itu akan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton. Justeru, kita akan memulangkan semua duit tiket mereka tidak lama lagi,” katanya.
Litar Monza dianggap ‘rumah’ kepada pasukan Ferrari yang berpangkalan di Maranello, Itali kerana kebiasaannya dihadiri oleh puluhan ribu penyokong pasukan itu.
Masih terdapat harapan buat penyokong Ferrari untuk menyaksikan pasukan mereka bersaing kerana terdapat dua lagi siri perlumbaan di Itali iaitu di GP Tuscan pada 13 September dan GP Emilia Romagna pada 1 November nanti.
Selain itu, F1 juga mengumumkan kehadiran GP baharu iaitu di Nurburgring (Jerman) dan Portimao (Portugal) yang masih berpeluang untuk dimeriahkan dengan kehadiran penonton.
F1 sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan lapan perlumbaan musim ini, manakala GP Monaco terpaksa dibatalkan. – AGENSI