VOICES of Euphonious atau lebih dikenali sebagai VE bukan nama baharu dalam industri muzik tanah air. Kumpulan vokal harmoni itu telah ditubuhkan pada 1997, namun selepas sedekad bersama, mereka membuat keputusan uk membawa haluan masing-masing.
Selepas hampir 13 tahun menyepi, cuma pada tahun lalu, kumpulan yang popular dengan lagu Pop Yeh Yeh, Ayu, Party Like This dan banyak lagi membuat keputusan untuk kembali mewarnai dunia seni .
Kepulangan semula VE ke pentas seni muzik tanah air bagaimanapun tidak lengkap apabila tiga anggota asalnya Damien, Shah dan Lah tidak lagi bersama.
VE versi 2021 sebaliknya diterajui Zafri Nazaruddin atau Zaf dan Charma Adizalilullah atau Cham bersama dua anggota baru, Adeep Nahar dan Luqman Hakim.
Selaku tunjang utama, Zaf berkata, sudah lama mereka merancang untuk kembali aktif, namun komitmen hakiki setiap anggota ditambah dengan penularan wabak Covid-19 menyebabkan hasrat tersebut tergendala.
“Kami sudah lama rindu untuk menyanyi. Niat untuk masuk semula ke dalam industri memang sudah lama dirancang, tetapi disebabkan kesibukan anggotai VE dengan pelbagai komitmen, hasrat itu beberapa kali tertangguh.
“Kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami walaupun jauh berbeza daripada VE yang dahulu.
“Namun kami berharap, peminat setia VE dapat menerima barisan baharu ini,” kata Zaf.
Sempena kemunculan semula, VE tampil dengan sebuah single baharu berjudul Tunggu.
Lagu dengan ‘mid-tempo’ yang mempunyai elemen ‘oldschool’ tetapi diadun dengan cita rasa semasa tersebut masih mengekalkan vokal harmoni yang menjadi signatur pemenang trofi Persembahan Vokal
Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-13 itu.
Menurut Zaf lagi, mereka memilih Tunggu sebagai judul single terbaru VE sebagai simbolik penantian kumpulan itu yang mengampil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula.
“Lagu Tunggu mengisahkan hubungan antara anak dan ibu. Kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi.
“Lagu ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan. Bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran video muzik.
“Alhamdulillan prosesnya sangat laju dan lancar. Tetapi kami mengambil masa sedikit lama untuk latihan memandangkan ini lagu pertama VE dengan barisan anggota yang baharu.
“Jadi kami perlu mengenali keupayaan dan keserasian masing-masing. Bagaimanapun muzik video lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu hari saja dengan pertolongan Team Osh,” kata Zaf lagi.
Tunggu ditulis oleh Zaf, Mulah, Dj Uno dan Aj PopShuvit, sementara liriknya menampilkan sentuhan Mulah, Zaf dan Cham.
Kali terakhir VE menerbitkan single ialah pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh.
Jadi, mereka benar-benar berharap Tunggu dapat diterima ramai dan berbekas dihayati pendengar.
VE juga bersyukur atas kelestarian projek kemunculan semula ini walaupun terpaksa menempuhi pelbagai halangan.
Biarpun Tunggu baru sahaja dilancarkan, VE juga tidak menunggu lama untuk membuat rakaman single kedua.
Mereka juga mempunyai beberapa buah lagu lain dan sudah ada perancangan untuk berkolaboratif dengan penyanyi lain.
Tunggu sudah boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer, KKBOX dan YouTube Music, manakala video muzik rasminya boleh ditonton dalam saluran YouTube Universal Music Malaysia sejak 26 Mac lalu.