NEWCASTLE – Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane kecewa dengan aksi yang ditampilkan pasukan itu apabila sekadar seri 2-2 menentang Newcastle United pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St. James Park malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Newcastle terlebih dahulu berada 1-0 di hadapan menerusi jaringan Joelinton, namun Kane menjaringkan dua gol bagi membolehkan Spurs mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, hasrat Spurs untuk membawa pulang tiga mata berkecai apabila Newcastle kembali menyamakan kedudukan menerusi Joe Willock lima minit sebelum perlawanan tamat.
“Amat sukar untuk diterima apabila pasukan lawan kembali menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki lebih kurang lima minit. Ia sangat menyakitkan.
“Sebenarnya, kami perlu menampilkan aksi lebih baik pada separuh masa kedua. Kami banyak mensia-siakan peluang dan dihukum oleh jentera serangan Newcastle,” kata pemain antarabangsa England itu.
Justeru, dia menggesa rakan sepasukan agar menampilkan aksi yang lebih baik pada perlawanan akan datang selain berharap benteng pertahanan diperkemaskan.
“Kami perlu lebih konsisten dalam setiap perlawanan, terutamanya pada penghujung aksi kerana kami sering dihukum dengan gol seperti ini. Amat sukar untuk beri respon jika dibolosi seperti itu,” ujarnya. – AGENSI