MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyeru agar anak-anak buahnya tidak memandang rendah ancaman yang boleh diberikan pasukan Borussia Dortmund pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.
Kata Guardiola, pasukan gergasi Bundesliga itu boleh memberikan cabaran sengit khususnya dengan ketajaman penyudah yang dimiliki oleh penyerang sensasi, Erling Haaland dan rakan di jentera serangan yang lain.
Katanya, status sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini mampu mengundang padah dan beliau enggan pemainnya terlalu terbuai dengan jangkaan yang diberikan itu.
“Jika ada sesiapa di Manchester yang paling banyak tahu tentang Dortmund, sudah tentu individu itu adalah saya memandangkan pengalaman ketika membimbing pasukan Bayern Munich sebelum ini.
“Berdasarkan apa yang saya lihat ketika ini, semua pemain skuad utama pasukan Dortmund memiliki kualiti yang cukup hebat dan kami tetap hormati mereka kerana berjaya melangkah ke pusingan suku akhir.
“Di atas kertas, kekuatan perlawanan ini agak seimbang dan meskipun kami memiliki ramai pemain berkelas dunia, mereka turut tidak terkecuali dengan Haaland, Jadon Sancho, Marco Reus, dan Mats Hummels,” katanya.
Mengulas lanjut, Guardiola mengesahkan bahawa tiada pemain yang diberi jaminan untuk berada dalam kesebelasan utama dengan kemungkinan besar akan merombak pasukan bertemu Dortmund nanti. – AGENSI