DOHA – Dua kemenangan berturut-turut pasukan Yamaha di Litar Antarabangsa Losail membuktikan mereka telah berjaya menamatkan dominasi pasukan Ducati selepas giliran Fabio Quartararo meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Doha awal pagi semalam.
Kemenangan Quartararo ternyata membuatkan Ducati resah apabila Yamaha berjaya meraih kemenangan keduanya di Litar Losail apabila Maverick Vinales mengesahkan kemenangan pada aksi pembukaan lalu.
Ducati sebelum ini menguasai saingan di Qatar apabila mereka muncul juara dua kali berturut-turut pada musim 2018 dan 2019 menerusi bekas pelumbanya Andrea Doviziso.
Pada aksi GP Doha, Ducati hanya mampu menaiki podium tempat kedua menerusi pasukan satelit Pramac, Johann Zarco dan Jorge Martin.
“Saya tidak banyak meraih kemenangan dalam perlumbaan dan sudah pasti kemenangan ini adalah paling bermakna selepas bekerja keras dari kedudukan kesembilan.
“Saya terpaksa membuat keputusan lebih baik dengan strategi menjimatkan tayar pada awal perlumbaan.
“Ketika rakan sepasukan saya, Maverick Vinales mula melakukan tekanan terhadap pelumba di kelompok hadapan, saya yakin ini adalah peluang terbaik untuk memecut laju dan memperbaiki kedudukan.
“Saya gembira kerana berjaya meraih kemenangan di sini. Lebih menarik ia merupakan kemenangan kedua Yamaha di Litar Antarabangsa Losail,” katanya.
Kemenangan Quartararo diikuti rakan senegaranya Johann Zarco yang menamatkan saingan di kedudukan kedua pada perlumbaan ternyata membanggakan apabila ia kali pertama dua pelumba Perancis menaiki podium kelas elit.
Kali terakhir dua pelumba Perancis menaiki podium kelas utama sejak 1954 menerusi Pierre Monneret muncul juara, manakala Jacques Collot ketiga di Reims.
Zarco yang mengekalkan momentum cemerlang dengan dua podium berturut-turut di Qatar memastikan dia kekal di puncak kejohanan dunia selepas mengumpul 40 mata dan hanya dipisahkan empat mata dengan Quartararo. – AGENSI