Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di beberapa lokasi ditetapkan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan berjalan seperti biasa mengikut garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Masjid JAWI Putrajaya, Hasli Othman berkata, pihaknya telah menerima permohonan dari masjid, surau Jumaat, surau komuniti, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti bagi ibadah korban tahun ini.
“Kebanyakan ibadah ini akan dilaksanakan pada hari raya kedua memandangkan kesuntukan masa pada hari raya pertama.
“Segala kelulusan ini tertakluk kepada peraturan semasa yang telah ditetapkan MKN dan KKM,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya, Datuk Shokri Shafee yang mengendalikan ibadah korban di bawah NGO di Presint 9 Putrajaya, percaya segala perancangan akan berjalan lancar.
“Petugas telah dimaklumkan secara terperinci apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas kerja-kerja menumbangkan haiwan korban dan melapah daging,” katanya. -K! ONLINE