KUALA TERENGGANU – Jalinan kerjasama antara Maritim Malaysia (APMM) dan agensi maritim Vietnam yang cuba dirintis sejak empat tahun lalu dijangka bakal dimeterai tidak lama lagi.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som berkata, satu perjanjian persefahaman antara pihaknya dan Pengawal Pantai Vietnam tersebut akan ditandatangani sebaik draf tersebut diluluskan Jabatan Peguam Negara pada masa terdekat.
“Kerjasama itu melibatkan manfaat kepada agensi maritim seperti penguatkuasaan, operasi mencari dan menyelamat, perkongsian data dan latihan anggota.
“Kita juga percaya isu pencerobohan bot nelayan Vietnam (di perairan negara) juga boleh diselesaikan sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Zubil berkata, secara dasar semua terma dan syarat kerjasama ditetapkan APMM telah dipersetujui Pengawal Pantai Vietnam.
Begitupun, beliau menjelaskan beberapa klausa daripada agensi penguatkuasaan maritim negara jiran itu masih dalam pertimbangan Jabatan Peguam Negara berikutan pertindihan kepentingan. – K! ONLINE