PETALING JAYA – Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. bersama jurutera perunding serta sembilan kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah menandatangani komitmen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) pagi tadi.
Majlis menandatangani komitmen itu dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) bertujuan untuk mendapatkan komitmen dari semua pihak terlibat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, usaha itu antara lain memberikan lebih penekanan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pembinaan Lebuh Raya SUKE.
“Kami menyambut baik usaha pihak JKKP dan MNKKP dalam memperkuatkan komitmen kontraktor-kontraktor yang terlibat dengan projek SUKE.
“Sebagai pemaju dan pemegang konsesi lebuhraya SUKE, kami sentiasa menekankan soal keselamatan sejak hari pertama projek ini bermula,” katanya di sini hari ini.
Mohammad Azlan berkata, antara inisiatif yang telah dijalankan oleh SUKE secara konsisten adalah dengan mengingatkan kontraktor-kontraktor terlibat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), serta mengambil langkah-langkah bersesuaian di tapak pembinaan.
“Antaranya adalah dengan pelaksanaan sesi auditan keselamatan secara berkala, tool box atau taklimat keselamatan setiap hari sebelum memulakan tugas serta latihan penyelamat kecemasan bersama badan-badan keselamatan berkaitan.
“Dalam pada itu, pengaktifan pelan pengurusan trafik yang diluluskan oleh pihak berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan juga diperolehi dan dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya. – K! ONLINE