fbpx

Penang tamat badi 16 musim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CASAGRANDE (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika membantu Penang menewaskan Perak 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya semalam. – PENANG FC

MESKIPUN bangkit mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam kelmarin, namun ia masih belum cukup bagus buat ketua jurulatih Penang, Tomas Trucha.

Pada perlawanan itu, Perak terlebih dahulu berada 1-0 di hadapan hasil jaringan Careca pada minit ke-12 sebelum tuan rumah bangkit menerusi jaringan Casagrande pada minit ke-43 dan Rafael Vitor (m-70).

Bagaimanapun, Trucha tanpa berselindung mengakui skuad kendaliannya itu masih belum menampilkan aksi yang dimahukan terutamanya di bahagian pertahanan dan tengah.

Katanya, walaupun gembira mendapatkan tiga mata, namun skuad Harimau Kumbang itu dilihat bergelut ketika berdepan serangan yang dilancarkan Perak.

“Perasaan saya bercampur-baur ketika ini kerana keputusan bagus tetapi prestasi tidak memuaskan. Bagi saya, kami gagal untuk bertahan sebagai satu pa­sukan kerana Perak mudah me­nembusi benteng pertahanan.

“Saya gembira kerana kami bangkit mencatat kemenangan, namun secara keseluruhan saya jangka aksi yang lebih baik. Kami gagal untuk bekerjasama sebagai satu pasukan,” kata pengendali dari Republik Czech itu.

Menerusi kemenangan itu, Penang mampu tersenyum lebar apabila berjaya menghuni tangga keempat liga dengan 11 mata menerusi tiga kemenangan, dua seri dan satu kalah.

Lebih manis, keputusan itu turut menyaksikan Penang menamatkan kemarau kemenangan ke atas Perak selama 16 musim dan Trucha jelas gembira dengan rekod tersebut.

“Secara jujur, saya tidak tahu mengenai rekod ini. Sudah tentu ia satu keputusan menggembirakan penyokong Penang dan saya sudah tidak sabar untuk me­nyambut kepulangan mereka ke stadium nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI