REMBAU – Hajat seorang pekerja kantin di sebuah kilang di sini untuk memberi duit raya kepada anak-anak buahnya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Muhamad Shafiq Zainurin, 26, yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pukul 3.15 pagi.
Menurut abang sepupu mangsa, Mohd. Fazlan Mat Arshad, 35, sebelum kejadian, Muhammad Shafiq dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu dengan rakan-rakannya.
Katanya, Muhamad Shafiq mesra dipanggil adik oleh keluarganya kerana telah tinggal bersama dengan mereka sejak berumur enam bulan.
“Adik mula bekerja sebagai pekerja kilang sejak dua bulan lalu dan memilih untuk masuk bekerja pada waktu petang memandangkan sebelah pagi dia mengambil upah menjaga kebun.
“Beberapa hari sebelum kemalangan, adik ada beritahu pada mak yang dia mahu simpan duit gajinya untuk diberikan sebagai duit raya kepada anak-anak buah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini semalam.
Mohd. Fazlan memberitahu, Muhamad Shafiq menunjukkan perubahan sikap daripada seorang yang nakal kepada lelaki matang dalam membuat keputusan sejak tiga bulan lalu.
“Sebelum ini adik agak nakal, namun dalam nakalnya itu dia begitu baik dengan penduduk kampung terutamanya warga emas kerana mengambil upah membuat kerja-kerja kampung dan membersihkan rumah.
“Dia amat disenangi penduduk kerana sikapnya yang ringan tulang. Malah, jika ada kematian, dia antara yang turut menggali kubur,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintendan, Hazri Mohamad berkata, kemalangan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedia Raja berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dan sebuah trak pikap, Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia awal 30-an.
“Berdasarkan siasatan awal, trak pikap berkenaan datang dari arah Seremban menghala ke Tampin.
“Setibanya di tempat kejadian, tiba-tiba mangsa telah keluar dari simpang Batu 17, Kampung Chembong ke Jalan Seremban Tampin secara mengejut menyebabkan pemandu trak pikap tersebut tidak sempat untuk brek lalu melanggar mangsa,” jelasnya.
Hazri berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan kanan, kaki dan kepala telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia kira-kira sejam selepas kemalangan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.