fbpx

Situasi kalah-menang balik kampung beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
FIRDAUS HASSAN
PENOLONG PENGARANG BERITA

ISNIN depan iaitu 12 April 2021 merupakan tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan. Seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ini, penetapan tarikh permulaan puasa berdasarkan rukyah dan hisab.

Atas kalendar Masihi, umat Islam dijangka mula berpuasa pada 13 April ini bersamaan dengan 1 Ramadan 1442 (Hijrah).

Selain menegakkan rukun Islam berpuasa serta berzakat, Ramadan juga akan diisi dengan program-program kerohanian dan amalan yang baik.

Apabila menyebut tentang Ramadan, pasti semua orang terbayang akan kemeriahan waktu berbuka puasa.

Perang di dalam media sosial seperti Instagram dan Facebook akan bermula tidak lama lagi.

Juadah kuih-muih tradisional entah dari pelosok dan ceruk negeri di Malaysia akan dimuat naik ke laman sosial.

Kuih nekbat sira dari Kelantan, mahupun celorot dari Sarawak atau kuih pepena dari Pahang.

Belum dikira sajian utama ayam percik, kambing golek, nasi kebuli. Dari makanan yang dijual di kaki lima hingga ke bufet hotel. Semua akan dikongsi di laman sosial.

Itukan ‘keabnormalan’ yang normal dalam masyarakat masa kini. Instagram first atau Facebook first baru makan. Orang Malaysia memang suka makan.

Pada Jumaat lalu, misalnya, ramai yang sanggup beratur panjang sempena pembukaan cawangan pertama sebuah restoran makanan segera yang menawarkan masakan Mexico di Cyberjaya.

Ia merupakan salah satu rangkaian restoran makanan segera terkenal dunia.

Seakan memahami kehendak rakyat, bazar-bazar Ramadan juga dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat oleh kerajaan.

Dengan pengumuman itu, peniaga makanan juga boleh menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan mereka sepanjang Ramadan ini.

Perkongsian video air sirap di WhatsApp, gambar plastik hitam atau ‘haram’ minum air tebu waktu tengah hari mula menjadi usikan dalam kalangan rakan-rakan.

Pendek kata apa yang berlaku pada bulan ini semuanya menarik, cuma jangan ada yang cuba berkongsi lagu Musafir Di Aidilfitri.

Lebih-lebih lagi lagu dendangan asal oleh Allahyarham S. Jibeng. Terasa kesedihan bukan kepalang kalau-kalau tidak dapat beraya dengan keluarga tahun ini.

Setakat semalam, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kebenaran rentas negeri bagi menyambut Aidilfitri.

Apa juga keputusan kerajaan sama ada boleh atau tidak, kita tetap berdepan situasi kalah-menang.

Sekiranya dibenarkan merentas negeri, dibimbangi angka kes Covid-19 melonjak. Lebih menakutkan jika orang tua kita di kampung dijangkiti virus tersebut.

Andai tidak dibenarkan, ada pula yang sesuka hati merentas negeri atas tiket bekerja.

Apa lagi mahu cakap, kami rakyat yang patuh SOP pendam sahajalah perasaan terbakar ini sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI