LEICESTER – Manchester City semakin hampir untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menang 2-0 ke atas Leicester City pada perlawanan yang berlangsung di Stadium King Power awal pagi semalam.
Dua gol menerusi Benjamin Mendy dan Gabriel Jesus itu memastikan The Citizens terus menjarakkan diri dengan pencabar terdekat, Manchester United.
Selain itu, kemenangan tersebut turut menyaksikan City hanya memerlukan 11 mata sahaja lagi dalam tujuh perlawanan terakhir bagi merangkul gelaran EPL ke-5.
“Kemenangan ini akan membawa kami semakin hampir untuk menjulang gelaran Liga Perdana. Saingan ini sangat sukar, jadi sudah tentu saya gembira untuk memenanginya.
“Anda tidak boleh jangka apa akan berlaku selepas aksi antarabangsa tetapi saya percaya dengan barisan pemain. Saya tahu mereka tidak selalu percayakan saya, namun masih beraksi dengan baik,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Selain itu, beliau juga gembira apabila semua pemain City masing-masing bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dan ia membawa kesan positif buat pasukan.
“Apabila anda selalu menang, setiap pemain berlumba-lumba membuktikan mereka adalah yang terbaik kerana mahu terus bermain. Saya fikir ia satu perkembangan yang sangat positif,” ujarnya. – AGENSI