LONDON – Valentino Rossi menerima kecaman hebat apabila diminta untuk bersara dan meninggalkan saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kerana dilihat sudah hilang taring untuk memburu kemenangan.
Pelumba legenda Itali, Marco Lucchinelli mengakui Rossi sepatutnya meninggalkan saingan tersebut dan membuka laluan kepada pelumba baharu untuk mengambil tempatnya itu, malah MotoGP tidak rugi sekiranya ketiadaan Rossi dalam perlumbaan.
Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) itu hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 pada perlumbaan pertama minggu lalu dan lebih menyedihkan jaguh Itali itu memulakan saingan di petak ke-21 pada perlumbaan kedua di Qatar semalam.
Justeru, bekas juara dunia MotoGP 1981, Lucchinelli menganggap era Rossi sudah berakhir dan perlu memberi ruang kepada pelumba muda lain.
“Pada aksi kejuaraan dunia lalu, Rossi adalah pelumba genius dan cara dia beraksi sangat berbeza pada era ketika itu, tetapi sekarang dia perlu realistik dan perlu beri ruang kepada pelumba muda.
“Bagi saya, gelaran dunia sembilan kali sudah memadai kerana sudah lebih tiga tahun Rossi tidak meraih sebarang kemenangan. Kali terakhir dia meraih gelaran dunia pada tahun 2009.
“Sebelum ini Rossi turun untuk merangkul kemenangan, namun ketika ini dia hanya mahu menyelesaikan perlumbaan sahaja,” kata Lucchinelli. – AGENSI