PORT DICKSON- Penternakan kupang dan tiram akan menjadi daya tarikan baharu pelancong ke daerah ini selain keindahan pantai peranginan sedia ada.
Ia merupakan produk baharu pelancongan yang diteroka oleh pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk diketengahkan menjelang Tahun Melawat Port Dickson pada tahun hadapan.
Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, penternakan kupang dan tiram di daerah ini mempunyai keunikannya tersendiri dan ia mempunyai potensi sebagai produk pelancongan kepada pengunjung di daerah ini.
“Selain pantai peranginan, hotel dan aktiviti di pantai, kami mahu membawa pelancong ke lokasi peternakan kupang dan tiram. Kami berhasrat menyediakan satu pakej bagi pelancong melihat sendiri peternakan kupang dan tiram.
“Ia agak unik kerana dipacak pada kayu untuk membiak dan kupang di Port Dickson ini lain dari kawasan lain dan menjadi hasrat kami untuk mengetengahkan produk seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan peternakan kupang di Pasir Panjang dekat sini baru-baru ini.
Menurut Zamri lagi, pihaknya difahamkan penternakan kupang tersebut juga mendapat permintaan pelancong dari luar negara seperti dari pelancong China.
“Sebelum ini pelancong China gemar ke Port Dickson dan mereka mahu melihat sendiri peternakan kupang ini namun sempadan negara pula ditutup ketika ini,” katanya. -K! ONLINE