Oleh NOR AZIHAN MD GHAZALI
KLANG – Setiap kali kedatangan hari raya, bahan mentah berupa daging segar sentiasa menjadi buruan orang ramai untuk dijadikan hidangan di hari raya khususnya rendang.
Begitu juga peniaga daging, Kamarul Zaman Darman, 49, yang meraih rezeki apabila hampir 280 kilogram (kg) daging berjaya dijualnya hari ini.
Katanya, dia dibantu adiknya Zulkifli, 29, yang membuka gerai jualan daging seawal pukul 6.30 pagi di pekan Rantau Panjang di sini.
“Selang setengah jam, gerai telah dipenuhi oleh pelanggan yang ingin membeli daging untuk persiapan Hari Raya Aidiladha esok
“Semua bahagian lembu dijual kami termasuk kaki dan kepala,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Kamarul daging batang pinang paling mendapat tempat berbanding bahagian lain.
“Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kesemua daging saya habis dijual. Berbeza kali ini sehingga pukul 3 petang, ia masih berbaki hampir 20 kilogram.
“Bahagian yang masih tinggal adalah organ dalaman seperti hati lembu dan perut,” ujarnya.
Jelas peniaga itu, kebanyakan daging yang dijual merupakan lembu yang dipeliharanya sebanyak 25 ekor selain membeli daging daripada rakan-rakannya. – K! ONLINE