KUALA LUMPUR – Ketinggalan dua gol awal tidak mematahkan semangat para pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila bangkit merampas kejuaraan Piala TNB musim ini daripada tangan juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Ia hadir menerusi kemenangan 2-0 melalui penentuan penalti shoot-out ke atas UniKL selepas terikat 4-4 dalam tempoh 60 minit perlawanan final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Lebih manis, kejayaan THT itu secara tidak langsung menamatkan dominasi UniKL yang telah memenangi tiga kejuaraan tahun lalu selain dua gelaran musim ini iaitu Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).
Ia juga menyaksikan gergasi hoki Pantai Timur itu kembali merampas Piala TNB yang pernah berada dalam genggaman mereka selama empat musim berturut-turut dari 2014 hingga 2017 sebelum memenanginya semula pada 2019.
Dalam aksi itu, UniKL berjaya meledak dua gol awal menerusi dua jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit kesembilan dan 13 sebelum THT bangkit dengan tiga gol pantas dalam tempoh 11 minit.
Tiga gol skuad bimbingan K. Rajan itu dijaringkan oleh Faizal Saari, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Mohamad Akhimullah Anuar Esok.
Bagaimanapun, UniKL kembali menyamakan kedudukan melalui Muhammad Razie Abd. Rahim sebelum skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi sekali lagi dikejutkan Faizal untuk meledak gol keempat THT.
Gol daripada Ashran Hamsani sembilan minit sebelum tamat permainan membolehkan UniKL menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out untuk menentukan pemenang aksi final tersebut.
Dalam penentuan penalti shoot-out, THT lebih cemerlang apabila dua percubaan daripada Syarmat Mat Tee dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi mengesahkan kemenangan mereka dengan keputusan 2-0.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengubati kekecewaan gagal ke pentas final apabila berjaya meraih tempat ketiga Piala TNB hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Maybank menerusi jaringan tunggal Muhajir Abdu Rauf. – K! ONLINE