JUARA Kumpulan A, Kuala Lumpur (KL) Wildcats menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan penuh bergaya apabila menewaskan Kedah Sunshine 83-36 di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Meskipun sudah melayakkan diri ke pentas separuh akhir, namun skuad kendalian Norizan Rajab itu tetap menampilkan aksi agresif sebaik perlawanan bermula.
Kedah cuba mengimbangi kemampuan KL dengan cuba melakukan tekanan ke atas skuad warga kota itu, namun tidak berjaya apabila ketinggalan 7-21 pada suku masa pertama.
Goalattack (GA), Nordiyanah Noorsabadinee dan goalshooter (GS), Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkefli terus menjadi ancaman buat benteng pertahanan Kedah apabila menjadikan kedudukan 44-18 sebaik tamat suku masa kedua.
Bersambung suku masa ketiga, jentera serangan Kedah cuba menggandakan asakan terhadap KL, namun goalkeeper (GK) KL, Noramirah Dayana Noor Azhar cekap dalam menafikan percubaan Kedah.
Kemudian, KL terus ‘membedil’ pasukan dari Utara itu tanpa belas kasihan dan memastikan mereka terus unggul dengan menamatkan suku masa ketiga 65-26.
Pada suku masa keempat, KL masih bernafsu untuk menambah jaringan dan usaha mereka itu nyata berbaloi apabila berjaya menamatkan perlawanan 83-36.
KL kini menunggu keputusan perlawanan antara Selangor Angels menentang Johor Jewels malam esok bagi mengetahui siapakah lawan mereka pada aksi separuh akhir minggu depan.-K! ONLINE