KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) II terpaksa berpuas hati seri buat kali kelima berturut-turut apabila diikat 1-1 oleh pasukan kedua tercorot, PDRM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Lebih malang lagi buat kelab berstatus pelapis itu menamatkan permainan dengan 10 pemain gara-gara layangan kad merah ke atas pemain import berpengaruh Masaki Watanabe pada penghujung aksi.
Awal permainan lebih memihak kepada TFC II yang mula memberi amaran ketika aksi baru berusia satu minit namun jaringan Watanabe telah dibatalkan kerana ofsaid.
Memasuki minit ke-34, Watanabe sekali lagi memaksa penjaga gol PDRM, Muhd. Hamka Daud bekerja keras dengan menepis tandukannya hasil sepakan percuma Mohd. Syafik Ismail.
Hasrat TFC II untuk mendahului tercapai apabila Mohd. Ramzi Sufian melakukan sepakan leret dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol pada minit ke-36.
Skrip berbeza dipamerkan PDRM pada babak kedua selepas mengawal permainan dan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-49.
Berpunca sepakan sudut dari sebelah kanan, pemain gantian, Alexander Amponsah berjaya menanduk masuk bola untuk kembali mengimbangi permainan.
Tersentak dengan dominasi lawan, TFC II meningkatkan serangan menyaksikan tandukan Izzan Syahmi Mustapa pada minit ke-64 sekadar tinggi melepasi sasaran.
Watanabe diarahkan keluar padang dalam masa kecederaan selepas menyiku Muhd. Afiq Azuan sekali gus menambah duka TFC II yang mencatat keputusan seri kali kelima berturut-turut. – K! ONLINE