PELUMBA berbakat negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril membuktikan semangatnya masih belum pudar akibat kecederaan tiga tahun lalu apabila dia kembali menaiki podium tempat kedua pada perlumbaan pusingan ketiga Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar sebentar tadi.
Danial yang kembali bersaing pada ATC tahun ini setelah berehat hampir dua tahun susulan kecederaan parah di betis pada akhir musim ATC 2018 tampil dengan tunggangan terbaiknya meninggalkan pelumba-pelumba lain di belakang.
Danial yang memulakan saingan di petak kedua mengekalkan aksi cemerlang malah cubaannya untuk memintas pendahulu,Taiyo Furusato pada pusingan terakhir tidak kesampaian.
Pelumba kelahiran Jepun itu mengekalkan tunggangan lebih mantap dan meraih kemenangan ketiga berturut-turut pada saingan tersebut.
Sebagai rekod, kali terakhir Danial menaiki podium tempat kedua ketika saingan ATC di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan menjuarai dua perlumbaan di Buriram, Thailand 2018.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Hakim Danish yang bertekad untuk mencari podium ketiga tidak kesampaian
apabila mengakhiri perlumbaan di kedudukan ketujuh manakala Sharul Ezwan Sharil tempat ke-14 terbaik. K! ONLINE