NEW YORK – Seekor zirafah bernama April yang menarik perhatian dunia menerusi rakaman video proses kelahiran anaknya disahkan mati pada usia 20 tahun di Harpursville, Amerika Syarikat, lapor portal Komo News hari ini.
Pada 2017 lebih 1.2 juta orang menyaksikan April melahirkan anaknya, Tajiri yang disiarkan secara langsung di laman YouTube.
Pihak Animal Adventure Park berkata, mereka terpaksa mematikan April menerusi prosedur eutanasia tengah hari semalam berikutan penyakit osteoartritis yang dideritainya sejak Julai lalu menjadi semakin teruk.
“Dengan rasa berat hati Animal Adventure Park mengumumkan kehilangan besar Zirafah yang kita sayangi, April,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Osteoartritis ialah penyakit yang menyebabkan kerosakan rawan sendi yang berlaku akibat peningkatan umur.
Prosedur eutanasia itu dilakukan sesuai dengan cadangan pasukan veterinar.
Bangkai haiwan itu akan dihantar ke Pusat Pengajian Veterinar di Universiti Cornell untuk dibakar dan abunya akan dikembalikan kepada Animal Adventure Park.
April dimasukkan ke taman haiwan tersebut pada 2015 dan mempunyai ketinggian 4.5 meter.
Purata jangka hayat zirafah ialah antara 20 hingga 25 tahun. – Agensi