TAMPIN – Dua buah motosikal dan sebuah basikal antara barangan yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cenaga, Repah, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 malam, kesemua empat beranak yang menghuni kediaman berkenaan tiada di rumah berikutan keluar makan di pekan berhampiran.
Menurut anak mangsa, Noor Quairah Muhammad, 32, mereka segera pulang ke rumah selepas mendapat panggilan kediaman mereka terbakar.
“Rumah ni sebenarnya rumah saudara kami, mereka beri kami menumpang tinggal di sini sejak 12 tahun lalu. Rumah asal di bahagian atas sudah uzur dan hanya satu plug sahaja berfungsi.
“Dalam kejadian ini segala barangan musnah tak dapat diselamatkan termasuk duit tunai mak (Zaliah Yahya, 62) lebih RM100, dua motosikal dan sebuah basikal yang sering mak guna untuk ke masjid atau pekan,” katanya ketika ditemui di Kampung Cenaga, Repag, di sini, pagi tadi.
Bagi jiran mangsa, Norizah Jamaludine, 60, sementara menunggu pasukan bomba tiba, dia berasa sangat bimbang apabila melihat api marak begitu cepat.
Menurutnya, jarak rumah jiran dan rumahnya hanyalah sekitar 50 meter dan dia juga mendengar bunyi cermin, atap dan tiang jatuh satu per satu.
“Rumah papan, memang sekelip mata sahaja musnah. Bomba sampai pun rumah sudah separuh terbakar.
“Pada mulanya saya mendengar bunyi mercun dibakar bila tinjau dari tingkap ke luar rumah, rumah jiran saya yang terbakar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, S. Dullasi Nathan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.25 malam dan tiba di lokasi pada pukul 10.27 malam.
“Kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal yang musnah 100 peratus.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih lagi dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE