TANAH MERAH – Polis sedang mengesan empat remaja perempuan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di dalam kawasan semak sehingga video perbuatan mereka itu viral di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
“Daripada maklumat yang kita dapat, kes itu dipercayai berlaku di daerah ini, namun kita masih belum mengenal pasti mangsa dan juga pelaku.
“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 30 saat tular dalam media sosial menunjukkan tiga remaja perempuan mengelilingi seorang mangsa yang juga remaja dipercayai berusia sekitar belasan tahun di kawasan semak.
Rakaman video berkenaan menunjukkan dua remaja perempuan bertindak menyepak mangsa yang tidak membalas dan hanya berdiam diri.
Daripada perbualan remaja-remaja itu dalam dialek Kelantan dapat dikenal pasti bahawa perbalahan berpunca akibat rasa tidak puas hati sesama mereka. – K! ONLINE