fbpx

PM Thailand berang wartawan silang kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRAYUT meminta seorang wartawan yang duduk bersilang kaki di hadapannya agar menurunkan kaki semasa sidang akhbar pada Selasa lalu. – BANYONG SUWANPONG/FACEBOOK

BANGKOK – Wartawan yang menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha kerana duduk bersilang kaki pada satu sidang akhbar baru-baru ini, dilarang daripada memasuki Rumah Kerajaan, lapor portal Coconuts Bangkok kelmarin.

Wartawan wanita tersebut, Kamonthip Aungsakularporn bertugas untuk akhbar Jepun, Tokyo Shimbun.

Pengarah Biro Jurucakap Kerajaan, NatthriyaTaweewong berkata, Kamonthip tidak dibenarkan menghadiri taklimat pada masa akan datang kerana menyebarkan maklumat salah mengenai kerajaan.

“Saya secara lisan telah meminta akhbar berkenaan supaya melatihnya dalam bidang kewar­tawanan.

“Saya meminta dia digantung daripada membuat liputan di Rumah Kerajaan sehingga kelakuannya diperbaiki,” katanya.

Akhbar Bangkok Post me­laporkan bahawa Natthriya bertegas keputusan itu dibuat bukan kerana isu duduk bersilang kaki tetapi disebabkan maklumat salah yang dikeluarkan wartawan itu di media sosial.

“Mesej dan foto yang disiarkan oleh wartawan itu diputarbelitkan dan mengundang salah faham terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Wartawan itu memuat naik catatan berbunyi: “Perdana Menteri tidak senang seorang wartawan duduk bersilang.

“Siapa itu? Siapa yang mengangkat kakinya di hadapan Perdana Menteri? Ya, saya lakukannya. Saya diberi amaran. Seseorang mesti duduk dengan merapatkan kedua belah kaki,” tulisnya yang kemudian menukar tetapan akaun media sosialnya kepada peribadi.

KAMONTHIP bertugas untuk sebuah akhbar Jepun. – COCONUTS BANGKOK/TWITTER

Ketua Jawatankuasa Etika Media Persatuan Wartawan Thailand, Banyong Suwanpong turut mengkritik Kamonthip yang dikatakan menunjukkan ‘rasa kurang hormat terhadap orang yang lebih tua’ dengan duduk bersilang kaki.

“Tradisi Thai yang baik tidak pernah berubah dan budaya menghormati orang tua harus diamalkan.

“Ia turut terpakai kepada wartawan yang harus menunjukkan rasa hormat terhadap tempat dan sumber menerusi pakaian dan cara mereka bertindak,” katanya.

Prayut pada Selasa lalu ‘mengganggu’ sidang akhbarnya sendiri dengan meluahkan rasa kurang senang dengan cara wanita itu duduk dan dianggap tidak menghormati pegawai atasan.

“Bolehkah anda meletakkan kaki anda ke bawah. Anda me­nyilang kaki seperti itu di hadapan saya. Boleh? Kaki anda. Eh?,” kata Prayut menggunakan mikrofon. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI