fbpx

Polis cari tiga lelaki bergaduh di Kok Lanas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan pergaduhan melibatkan tiga lelaki di sebuah kedai makan yang tular di media sosial.

KOTA BHARU- Polis sedang mengesan seorang mangsa dan dua suspek yang terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah kedai makan di tepi jalan di Kok Lanas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat seorang pegawai kanan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira pukul 2 petang tadi.

Katanya, pegawai itu tampil membuat laporan selepas terlihat satu video yang tular berkenaan kejadian itu di media sosial.

Terdahulu, video berdurasi 31 saat telah tular menerusi akaun Instagram ‘Info Semasa’ bertajuk Video Pergaduhan Melibatkan Tiga Lelaki.

Video itu memaparkan dua lelaki sedang memukul seorang individu dengan menggunakan topi keledar.

Menurut Abdul Rahim, polis bagaimanapun masih belum menerima laporan daripada mangsa atau saksi yang melihat kejadian itu.

“Laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis itu sendiri bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dijalankan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI