PELUMBA pasukan Tuneboss-Pink Racing, Muhamad Harith Farhan Baharin mengakui tidak sabar untuk memulakan saingan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang berlangsung pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (Utara).
Harith mengakui pasukannya itu akan turun dengan pakej yang lebih lengkap sekali gus yakin peluang untuk menaiki podium pertama dalam saingan CP125 mampu menjadi kenyataan.
Pada pusingan pertama lalu, Pink Racing yang turun selaku pendatang baharu tampil dengan aksi positif apabila mengutip pertama mereka selepas Siti Norafizah Muhamad dan Harith masing-masing menamatkan perlumbaan tempat kelima dan kelapan.
“Pada perlumbaan pembukaan segala-galanya baharu bagi kami kerana ini debut pertama pasukan ini bersaing dalam saingan CP125. Bagaimanapun kami berakhir dengan keputusan yang sangat positif
“Kali ini pasukan telah melakukan persiapan yang lebih baik dan akan turun dengan pakej yang lengkap. Kami akan turun mengujinya dan saya yakin pasukan ini mampu bersaing dengan pasukan berpengalaman dalam perlumbaan ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, pelumba kelahiran Terengganu itu yakin sekiranya dia mampu mencatatkan masa untuk mendapatkan kedudukan terbaik pada sesi kelayakan tidak mustahil dia mampu menaiki podium pada perlumbaan sebenar esok.
“Esok (hari ini) adalah tugas penting buat kami dan saya bertekad untuk memulakan saingan di barisan hadapan.
“Pada minggu lalu saya terjatuh kerana bersaing dalam keadaan hujan dan saya harap mampu mengubahnya pada kali ini.
“Sudah pasti saingan kali ini berbeza kerana setiap pelumba dalam CP125 merupakan juara-juara terdahulu. Jadi, saya perlu melipatgandakan usaha sekiranya mahu menaiki podium,” tambahnya.