LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan barisan pemainnya mengambil mudah aksi menentang Liverpool yang dilihat bergelut dengan prestasi pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang pertemuan di Emirates awal pagi esok.
Sebagai rekod, Liverpool yang merupakan juara bertahan EPL gagal mempamerkan aksi konsisten musim ini dengan hanya mengutip 46 mata dan hanya dibezakan empat mata berbanding Arsenal yang berada di kedudukan kesembilan liga.
Kata Arteta, skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih memiliki kualiti khususnya di bahagian jentera serangan yang berbisa sekali gus memberikan ancaman dalam usaha pasukannya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
“Saya tidak mahu mengulas mengenai kenapa prestasi Liverpool merosot dengan begitu mendadak musim ini, sebaliknya saya lebih berminat untuk memastikan pasukan bersedia sepenuhnya kerana pertemuan menentang Liverpool adalah sangat sukar dan tidak dapat dijangka.
“Justeru, saya mahu semua pemain fokus khususnya benteng pertahanan pasukan kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit. Kita tidak boleh nafikan kualiti yang ada pada jentera serangan pasukan lawan dan pemain harus berikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Arteta turut mengesahkan bahawa pasukannya kehilangan khidmat pemain muda berpengaruh, Bukayo Saka yang masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ketika mewakili pasukan England baru-baru ini.
“Saka masih lagi tidak menyertai sesi latihan bersama skuad utama dan hanya menjalani sesi kecergasan ringan. Saya akui tahap kecederaan yang dialaminya sudah beransur pulih tetapi kemungkinan besar dia tetap diketepikan pada aksi bertemu Liverpool kerana tidak mahu mengambil risiko kecederaannya bertambah teruk nanti,” katanya. – AGENSI