DOHA – Pelumba LCR Honda, Alex Marquez menegaskan dia sedikit bimbang dengan potensi jentera RC213V Honda terutama pada sesi kelayakan selepas mengakui sukar untuk mendapatkan rentak terbaik bersama jentera tersebut.
Alex mengakui pada sesi kelayakan menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Doha malam ini bukan tugas mudah selepas minggu lalu dia sekadar menghuni kedudukan ke-16 terbaik keseluruhan.
Lebih mengecewakan, pada perlumbaan tersebut Alex gagal meraih sebarang mata selepas terjatuh selepas hanya sempat melakukan sembilan pusingan.
“Tahun lepas agak sukar, tetapi tahun ini dengan penambahbaikan terutama komponen elektronik sedikit menggembirakan saya. Mungkin Honda bukan jentera yang mudah untuk ditawan dengan hanya satu pusingan sahaja, saya perlukan masa untuk mendapatkan keserasian.
“Saya akui ia bukan permulaan terbaik bagi saya dan pasukan tetapi saya perlu segera mencari keserasian dengan jentera terutama pada sesi kelayakan untuk berada di kedudukan lebih hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Alex mengakui dia mahu menutup kekecewaannya ketika kembali bersaing di Litar Antarabangsa Losail untuk berada dalam kelompok hadapan.
“Saya yakin minggu ini pasti menjadi tugas yang sukar kerana setiap pelumba memberi tentangan yang cukup hebat. Saya sangat bermotivasi untuk tampil dengan lebih baik dan mahu memberi tentangan di kelompok hadapan serta mengelakkan kesilapan,” tegas Alex. – AGENSI