PENYANYI popular IU membuat pendedahan tentang rahsia yang dipegang kemas selama ini iaitu dia pernah membenci dirinya sendiri suatu masa dahulu.
Pendedahan tersebut diucapkan IU dalam program You Quiz On The Block yang dihoskan pengacara popular Yoo Jae-suk.
“Ketika remaja, saya membenci diri sendiri. Saya merasakan tidak cantik pada ketika itu hinggalah berumur 25 tahun.
“Dengan masalah insomnia yang saya alami bagai menambah beban pada diri ini. Keyakinan saya hilang pada masa itu dan hampir membuat keputusan untuk keluar dari dunia seni,” dedahnya kepada pengacara dan penonton.
IU menambah, single Palette yang dilancarkan sebelum ini sebenarnya mengisahkan tentang dirinya yang kurang keyakinan diri sekali gus mahu bangkit daripada rasa negatif yang membelenggunya.
Terdahulu, IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun, 28, memulakan debut sebagai penyanyi sejak 2007 pada usia 15 tahun. Paling terkini, IU yang juga merupakan pelakon baru sahaja melancarkan dua buah single terbaharu berjudul Lilac dan Coin.