fbpx

Malaysia perlu lebih ramai Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD,
PENOLONG PENGARANG BERITA

KEJAYAAN Lee Zii Jia menjulang kejuaraan All England baru-baru ini benar-benar memberikan kegembiraan dan harapan buat peminat sukan badminton negara selepas kali terakhir Datuk Lee Chong Wei meraihnya pada tahun 2017.

Trofi All England besar ertinya buat seluruh peminat kerana bukan sahaja ia adalah satu isyarat bahawa Malaysia masih wujud dalam saingan badminton dunia, tetapi mengurangkan kebimbangan mengenai ketandusan kejuaraan selepas era Chong Wei.

Ada yang menganggap kejuaraan yang dimenangi Zii Jia kali ini tidak benar-benar tulen ekoran beberapa negara seperti Indonesia, China, Taiwan dan beberapa lagi kuasa besar badminton tidak menyertai edisi kali ini.

Namun, menewaskan tiga pemain yang lebih berpe­ngalaman, Hans-Kristian Vittinghus di pusingan 16 terbaik kemudian menghantar pemain No. 1 dunia, Kento Momota pulang ke Jepun di pusingan suku akhir serta menafikan hajat Viktor Axelsen menjulang kejuaraan kedua berturut-turut sudah cukup untuk membuktikan ia adalah sebenar-benarnya kemenangan.

Laluan itu bukan mudah, namun kalau ada yang menganggap kemenangan itu tidak begitu genuine maka terserahlah kerana nama Zii Jia sudah terpahat dalam sejarah menjadi salah seorang daripada enam pemain Malaysia yang memenangi kejohanan itu sejak kali pertama dipertandingkan 122 tahun lalu.

Ia adalah kemenangan terbesar dalam karier pemain berusia 23 tahun dari Kedah itu setakat ini, tetapi ia seharusnya bukanlah penamat untuk terus memburu banyak lagi kejuaraan selepas ini.

Persoalannya, adakah sukar untuk kita menjadikan Zii Jia sebagai ‘Lee Chong Wei’ kedua?

Jawapannya tidak sukar, model dan modulnya sudah ada. Tidak perlu susah-susah mencari, tiru sahaja apa yang dilakukan ketika ‘mencipta’ Chong Wei sebelum ini, perjalanan pasti lancar.

Benar, ia mudah jika dilihat secara fizikal, namun perkara yang paling utama adalah kehendak. Apakah Zii Jia benar-benar memiliki keinginan untuk berada dalam kelompok elit badminton dunia kerana itu sahaja mampu membawanya mengatasi segala kesukaran yang sedang menantinya di kemudian hari.

Jika bersedia, tidak mustahil dia mampu berada sebaris dengan Chong Wei atau menjadi lebih baik.

Satu peringatan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jangan biarkan Zii Jia terlalu jauh tahapnya berbanding rakan sepelatih yang lain. Jangan ulangi kesilapan yang dilakukan terhadap Chong Wei apabila hanya dia bersendirian memikul tugas membawa pulang kejuaraan.

Seharusnya lebih ramai pemain berada pada tahap Zii Jia kerana peminat lebih gembira andai kita mampu melihat perlawanan akhir All England, Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik atau Siri-Siri Super mempertemukan dua pemain negara.

Sebelum terlupa, tahniah diucapkan kepada pemain-pemain muda negara yang memenangi tiga kategori pada aksi Terbuka Poland biarpun ia bertaraf Cabaran Antarabangsa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI