fbpx

Padah muat naik status jelik, jurugambar didenda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang jurugambar syarikat produksi didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua kesalahan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dalam laman sosial Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Hakim M. M Edwin Paramjothy memutuskan demikian terhadap Zamri Abdul Razak, 54, selepas mendapati lelaki itu bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Kesalahan pertama, jurugambar itu didenda RM8,000 atau penjara enam bulan manakala kesalahan kedua dia dikenakan denda RM7,000 atau penjara enam bulan. Denda itu dibayar.

Edwin Paramjothy dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, meskipun kebebasan bersuara merupakan keistimewaan yang sangat berharga termaktub di bawah Perlembagaan, namun kebebasan itu berakhir apabila melibatkan agama dan kepercayaan penganutnya.

Menurut beliau, kebebasan bersuara tidak termasuk perkara yang melibatkan tindakan menghina dan merendah-rendahkan mana-mana agama dan kepercayaan pengikut agama lain tanpa dikenakan sebarang hukuman.

Hakim berkenaan turut menjelaskan, kesalahan menghina agama lain dilakukan bukan sahaja terhadap penganut malah melibatkan nilai-nilai dan fungsi agama itu kepada pengikutnya, yang mana isu agama bersifat peribadi dan sangat dekat di hati mereka yang mempercayainya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil `Zamri Bin Abd. Razak’.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook `Saravana Kumar’ di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini, pukul 12.45 tengah hari, 10 Mac 2019.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Mohd. Harris Al-Hajj Abdullah mewakili tertuduh. -K!ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI