OUAGADOUGOU, Burkina Faso – Enam anggota pasukan bantuan kempen anti-pengganas terbunuh dalam serangan bersenjata api di bandar Dablo, wilayah Sanmatenga di Burkina Faso, lapor agensi berita Anadolu hari ini.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang semalam pada waktu tempatan di negara yang terletak di Afrika Barat itu.
“Berlaku pertembungan antara Sukarelawan Pertahanan Tanah Air (VDP) dan seorang lelaki disyaki pengganas di bandar Dablo yang terletak di sebelah utara Burkina Faso.
“Insiden itu mengorbankan enam nyawa dengan seorang lagi cedera,” kata seorang pegawai keselamatan yang engggan dikenali kerana sekatan bercakap dengan media.
Menurut agensi berita AFP, kumpulan sukarelawan berkenaan diserang ketika sedang mencari rakan setugas mereka yang hilang di kampung Dou.
VDP ditubuhkan pada Disember 2019 untuk memikul beberapa tugas keselamatan asas.
Sukarelawan yang terdiri daripada orang awam diberi latihan ketenteraan selama dua minggu dan biasanya bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi menjalankan tugas pengawasan, kawalan dan pengumpulan maklumat.
Afrika Barat telah diasak serangan pengganas berulang kali yang meragut banyak nyawa dan mengusir ribuan orang dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini di samping menghadapi krisis kemanusiaan yang serius.
Negara Burkina Faso, Nigeria dan Mali di Wilayah Sahel menjadi satu daripada pusat perpindahan dan perlindungan pelarian yang paling pantas berkembang di dunia.
Menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, wilayah itu telah menempatkan 851,000 pelarian dengan hampir dua juta orang kehilangan tempat tinggal. – Agensi