PUTRAJAYA – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-355 yang bersidang hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin Covid-19 AstraZeneca.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan bersyarat itu bagi vaksin AstraZeneca yang dibekalkan melalui fasiliti COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co. Limited, Korea Selatan.
Beliau berkata, pendaftaran vaksin itu dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurutnya, kelulusan EUL bagi vaksin keluaran AstraZeneca-SK Bioscience telah diumumkan oleh WHO pada 15 Februari lalu.
“Kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau dan menilai data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.
“Pemantauan itu penting bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Noor Hisham berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).-K! ONLINE