PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan bakal melancarkan Hari Tanpa Tunai di semua hospital, klinik dan fasilitinya dalam usaha mempromosikan amalan budaya baharu yang lebih selamat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia bukan sahaja mengurangkan ancaman jenayah malah mengelak risiko penularan kuman.
“Langkah ini juga sejajar inisiatif pendigitalan negara terutama ketika pandemik Covid-19, dengan pelanggan juga bebas jangkitan penyebaran virus yang ada di wang kertas,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kempen MyDebit anjuran kementerian itu dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Tiga Jabatan Kesihatan negeri yang paling tinggi transaksi MyDebit iaitu Sarawak, Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing meraih wang tunai RM10,000, RM6,000 dan RM3,000.
Mengulas lanjut, Adham berkata, setakat ini sebanyak 350 terminal pembayaran secara MyDebit sudah pun sedia dipasang di pelbagai hospital, klinik dan fasilitinya di seluruh negara.
“Kita akan memperluaskan kaedah ini meliputi kesemua lebih 1,300 buah klinik kesihatan, klinik desa, klinik ibu dan anak selain 144 hospital kerajaan dalam masa terdekat,” katanya.