CYBERJAYA – Mayat seorang mangsa lemas dipercayai seorang lelaki kurang siuman yang tergelincir ke dalam tasik di Taman Tasik Cyberjaya di sini ditemui pagi tadi.
Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu, ditemui Pasukan Penyelamat di Air, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 10.35 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula hari ini kira-kira pukul 8 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelam di dasar yang berkedalaman anggaran 6.5 meter dengan jarak anggaran 20 meter dari tebing tasik.
“Ini selepas radius kawasan pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas diperluaskan dari kawasan yang dikenal pasti.
“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum diketahui lagi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam tasik di Taman Tasik Cyberjaya.-K! ONLINE