BINTANG perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berharap dapat mengekalkan rentak cemerlang dan meraih banyak keputusan positif sebagai persediaan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada Julai depan.
Juara All England itu percaya dia masih mempunyai tempoh masa panjang untuk bersedia dan mempersiapkan dirinya untuk berdepan tekanan dalam keadaan selesa apabila beraksi di Tokyo nanti.
“Saya ada tiga kejohanan dalam persediaan iaitu Terbuka India, Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura sebelum Olimpik bermula.
“Sesiapa yang pergi Olimpik impikan untuk menang pingat emas, tiada yang mahu kalah. Saya banyak belajar dan semakin matang, saya harap dapat kawal tekanan dengan cara tersendiri,” katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pemain dari Kedah berusia 23 tahun itu juga berharap dapat mengekalkan keyakinan dan memecah masuk dalam kelompok lima terbaik dunia selepas ini memandangkan tidak banyak kejohanan akan berlangsung tahun ini.
Dalam masa sama, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, pihaknya tidak akan meletakkan sebarang tekanan kepada barisan pemain mudanya terutama Zii Jia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun, beliau berharap semua pihak dapat terus memberikan sokongan kepada setiap pemain negara dalam usaha untuk meraih keputusan cemerlang di Tokyo nanti.
Sebagai rekod, BAM mengadakan majlis keraian istimewa di ABM semalam buat Zii Jia yang menerima insentif sebanyak RM30,000 atas kejayaannya menjuarai All England menewaskan pemain ranking kedua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen baru-baru ini.
Selain Zii Jia, beregu wanita negara iaitu Pearly Tan dan M Thinaah turut menerima ganjaran bernilai RM15,000 disebabkan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland awal bulan lalu.