HANYA dengan sepotong lirik berhantu berbunyi ‘Raparaparapa’, remaja kelahiran Jordan, Issam Alnajjar berjaya mencipta sensasi di seluruh dunia, sehingga melonjakkan sebuah lagu berbahasa Arab pertama mencatat populariti di peringkat global.
Lagu ciptaan sepenuhnya penyanyi berusia 17 tahun itu, berjudul Hadal Ahbek yang bermaksud ‘aku akan terus mencintaimu’ menjadi tular susulan sepotong teaser lagu berkenaan dimuat naik dalam Instagramnya pada September lalu.
Sejak dari situ, Hadal Ahbek mula menambat hati peminat seluruh dunia dan lagunya melekat di kepala pendengar.
Biarpun didendangkan sepenuhnya dalam bahasa Arab, namun perkara tersebut bukan masalah besar untuk diterima ramai. Bahkan Issam berjaya membuktikan muzik boleh dinikmati tanpa sempadan.
Sehingga kini, Hadal Ahbek mendaki carta teratas lagu-lagu di Amerika Syarikat, United Kingdom, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Malaysia dan India.
Malah lagu berkenaan juga berjaya mengatasi penyanyi popular antarabangsa, apabila Hadal Ahbek mendapat perkongsian lebih tinggi berbanding lagu nyanyian Justin Bieber mahupun The Weeknd.
Biarpun hanya mempunyai 122,000 pengikut Instagram tetapi Issam diikuti 813,000 pengikut dan dengan lebih lapan juta tanda suka dalam TikTok.
Disebabkan sensasi lagu Hadal Ahbek, kini lebih daripada 91,000 video dijadikan lagu latar pengguna TikTok dan ditonton lebih 45 juta pengguna.
Di Malaysia, lagu Issam juga tidak kurang sensasinya. Populariti Hadal Ahbek bermula daripada aplikasi Tik Tok. Malah Malaysia menjadi negara ketiga mencatat penstriman terbanyak selepas Indonesia.
Malaysia turut muncul sebagai negara keenam terbanyak menonton video nyanyian remaja itu dalam YouTube dan mencatat sohor kini.
Muzik video persembahannya secara langsung yang dimuat naik sendiri dalam platform perkongsian video juga mencecah 52 juta tontonan dalam tempoh lima bulan.
“Saya masih lagi sedang cuba menghadam semua ini, otak saya masih lagi memproses ‘kegilaan’ ini,” kata Issam mengenai populariti Hadal Ahbek.
Menurut penyanyi yang menjadikan artis pop seperti Shawn Mendes dan Ed Sheeran sebagai inspirasi dalam penulisan lagu serta mengagumi kreativiti artis ikonik seperti Queen dan The Weeknd, dia sejujurnya menjangkakan Hadal Ahbek hanya mendapat 10,000 tontonan.
Namun siapa sangka, dalam tempoh seminggu, lagu berkenaan berjaya mencatat lebih 100,000 tontonan. Dalam aplikasi muzik Spotify, Apple Music dan Deezer, Hadal Ahbek turut distrim paling banyak.
“Saya sedang menggunakan aplikasi FaceTime bersama seorang wanita, benda pertama yang muncul dalam fikiran saya pada ketika itu perkataan hateh rassik aal mkhadeh (letakkan kepalamu di bantalku),” kongsi Issam tentang tercetusnya idea lagu sensasi berkenaan.
Bagi remaja itu, muzik bukanlah sekadar kerjaya tetapi lebih kepada cara hidup.
Katanya, muzik bagaikan sebuah ‘escapism’ yang dapat membantunya memproses tekanan serta cabaran hidup sehari-hari, lebih-lebih apabila terpaksa tinggal bersendirian sejak empat tahun lalu setelah kedua-dua ibu bapanya mengambil keputusan berhijrah ke Amerika Syarikat.
Issam juga sentiasa berasakan dirinya dilahirkan untuk menghasilkan muzik. Dia bahkan mempunyai keyakinan diri amat tinggi dapat menghasilkan sesuatu yang dapat meninggalkan memori bukan sahaja buat dirinya tetapi juga kepada semua orang.
“Saya remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Jordan, saya berjaya menghasilkan lagu yang menjadi trending di seluruh dunia. Dari itu, saya yakin apa saja tidak mustahil dapat dicapai jika kita memiliki cita-cita,” katanya yang mempunyai lebih 600,000 subscriber menerusi YouTube.
Bagaimanapun, remaja itu hanya memuat naik empat buah lagu di saluran YouTube miliknya, dua daripadanya merupakan lagu original. Selain Hadal Ahbek, dia juga mempunyai sebuah lagi lagu berjudul One of A Kind yang dimuat naik pada Jun 2020.
Hadal Ahbek sudah pun tersedia dalam semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Deezer, KKBOX dan YouTube Music, manakala video muziknya sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube Issam Alnajjar.