KUALA LANGAT – Sukarelawan muda digalakkan untuk membantu kempen pendaftaran vaksin untuk warga emas di kampung di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini berikutan pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat secara amnya belum mencapai sasaran yang diharapkan bagi membentuk imuniti kelompok.
“Kita amat mengalu-alukan bukan sahaja golongan belia membantu mendaftarkan warga emas di kampung-kampung malah semua pihak harus memainkan peranan sedemikian.
“Anak-anak muda ini boleh membantu orang tua dan orang kampung untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau secara manual di pejabat kesihatan,”katanya selepas Program Penugasan Sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Banting hari ini.
Beliau memberitahu, Kementerian Belia dan Sukan akan turut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam merealisasikan sasaran lebih 20 juta rakyat negara ini didaftarkan untuk PICK itu.
Ujarnya, langkah itu dapat mewujudkan golongan sukarelawan di universiti yang menjadi pemudah cara pendaftaran penerima vaksin terutama di kawasan pedalaman Sabah.
Mengulas mengenai Program MyVac tersebut, Wan Ahmad Fayshal menjelaskan penyertaan sukarelawan yang bertugas di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) amat menggalakkan dengan melebihi sasaran 8,000 orang di seluruh negara, ketika ini.-K!ONLINE