SUBANG JAYA – Tindakan licik satu sindiket menjadikan sebuah kondominium di Jalan USJ 21/10 di sini sebagai pusat operasi aktiviti mempromosikan kegiatan perjudian online sejak enam bulan lalu akhirnya kecundang selepas diserbu polis menerusi Ops Dadu awal pagi tadi.
Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Dalam serbuan itu, pasukan serbuan telah berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis serta operator.
“Pasukan serbuan turut merampas set komputer, modem, router dan beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan sindiket bagi menjalankan kegiatan promosi aktiviti perjudian secara online,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Zuhairee, sindiket tersebut menjalankan operasi mempromosikan perjudian secara online dan tambah nilai (top-up) di tingkat 23 kondominium berkenaan dengan kadar sewaan sebanyak RM1,500 sebulan.
“Antara laman web perjudian yang dikesan dipromosikan oleh sindiket ini adalah websky 777, mega 888, newtown, joker, rollex, 2 win, live 22, suncity, angpao8888, 100 plus dan leocity.
“Sindiket ini dipercayai mensasarkan pelanggan warga tempatan di mana setiap pelanggan akan menerima iklan daripada operator sebelum operator memberikan kata kunci tertentu untuk memulakan permainan perjudian online,” jelas beliau.
Tambah Zuhairee, kedua-dua suspek dan barang rampasan seterusnya dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-K! ONLINE