KUALA LUMPUR – Jabatan Penyiaran nombor satu negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya mencipta empat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records apabila dinobatkan sebagai Stesen Penyiaran Paling Lama di negara ini.
Detik penuh bermakna itu dicipta sempena sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan RTM dan ulang tahun ke-60 Orkestra RTM yang diadakan secara gilang gemilang di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini hari ini.
Justeru itu, beberapa pembaharuan akan dilakukan RTM kali ini termasuk melancarkan Saluran Sukan RTM yang sepenuhnya dimiliki jabatan itu yang akan membawa aksi-aksi sukan tempatan dan antarabangsa di Saluran 111 my Freeview.
RTM melalui satu kenyataan berkata, buat pertama kalinya juga Lagu Tema RTM 75 bakal diperdengarkan.
Katanya, sempena sambutan Orkestra RTM ke-60 yang bertemakan ‘Gemilang Selamanya’ Orkestra Paling Lama di negara ini iaitu sejak tahun 1961 tampil dengan lagu tema baharu Teman Setia Anda hasil ciptaan Raja Sham dan lirik oleh Zaira.
“Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam Khas turut bersiaran pada 1 April ini pada pukul 9 malam menerusi saluran TV1,” ujarnya.
Katanya lagi, RTM juga mengadakan kolabrasi dengan Pos Malaysia untuk menghasilkan Setem Khas Hari RTM Ke-75.
Turut hadir pada sambutan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ruzain Idris. – K! ONLINE