PAPAR – Tiga beranak termasuk pasangan suami isteri serta anak perempuan mereka maut selepas lori dinaiki terbabas di Kilometer 42 Jalan Kimanis – Keningau malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, empat lagi anak pasangan berkenaan turut cedera.
Difahamkan, lori dinaiki tujuh sekeluarga berkenaan dipercayai sedang membawa muatan sebuah van dan bergerak dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan secara tiba-tiba.
Katanya, lori berkenaan seterusnya dipercayai terbabas sendiri ke jalan bertentangan sebelum melanggar tebing dalam keadaan menuruni bukit.
“Kita percaya brek lori itu gagal berfungsi dengan baik sehingga mengakibatkan kemalangan. Pemandu lori tersepit di tempat duduk hadapan lori manakala isteri dan salah seorang anak perempuan padangan itu terhumban keluar.
“Pasukan paramedik dari Hospital Papar mengesahkan ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Batholomew berkata, empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.
Menurut beliau, tiga mangsa yang maut berusia antara 12 sehingga 40 tahun manakala empat yang cedera termasuk seorang parah berusia lingkungan empat sehingga 15 tahun.-K! ONLINE