ALOR SETAR – Sindiket penyeludupan ketum dipercayai dalam keadaan terdesak apabila terpaksa menggunakan perairan Kuala Jerlun dekat sini untuk menyeludup daun tumbuhan tersebut ke Thailand sejak pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini dan Perlis.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kumpulan itu biasanya membawa daun ketum dari negeri ini ke Perlis melalui jalan darat untuk diseludup menerusi perairan Kuala Perlis.
“Penyeludup dipercayai memilih perairan Kuala Perlis kerana jarak ke sempadan Malaysia-Thailand lebih dekat iaitu kira-kira 15 minit berbanding dari Kuala Jerlun yang mengambil masa sejam.
“Walau bagaimanapun, bekalan daun ketum pada masa ini sukar dibawa ke Kuala Perlis kerana banyak SJR di sempadan negeri menyebabkan penyeludup terdesak menggunakan perairan Kuala Jerlun,” katanya pada sidang akhbar di Marina Harbour, Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah di sini hari ini.
Katanya, anggota Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah pada semalam berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum berkualiti tinggi jenis urat merah di kedudukan 0.3 batu nautika dari muara Kuala Jerlun kira-kira pukul 5.10 pagi. – K! ONLINE