IPOH – Kerajaan negeri sedang meneliti untuk mengenakan penalti atau membayar kos pemuliharaan terhadap syarikat produksi drama yang bertanggungjawab atas kerosakan fosil dan dinding Gua Matsoorat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beberapa perbincangan telah dijalankan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama pihak operator yang menguruskan kawasan itu dan syarikat produksi berkenaan.
Katanya, hasil perbincangan, terbukti kerosakan di gua bersejarah tersebut dilakukan oleh krew syarikat produksi itu ketika menjalankan pengambaran.
“Perkara ini masih dalam perbincangan sama ada untuk mengenakan penalti atau mereka harus membayar kos untuk kita memulihara semula tempat yang telah dirosakkan.
“Pihak yang pakar juga telah dipanggil untuk melihat kerosakan yang berlaku dan bagaimana untuk kita memuliharanya.
“Bagaimanapun setakat ini, kita masih belum mengetahui anggaran kerosakan akibat perbuatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Urban Scale Studio Sdn. Bhd. dan Pavillion Agro Farm di Bangunan MBI di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kawalan keselamatan di Gua Matsoorat itu kini diperketatkan dengan menempatkan pengawal keselamatan yang menjaga kawasan itu sepanjang 24 jam.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, berlaku kerosakan pada gigi fosil mamalia herbivor berusia jutaan tahun dan dinding di Gua Matsoorat berhampiran Gunung Lang dekat sini oleh sebuah syarikat produksi yang menjalankan penggambaran drama di kawasan tersebut.-K! ONLINE