BIARPUN kepanasan kisah perkahwinan Neelofa dan PU Riz masih membara, tumpuan khalayak kini sedikit teralih dengan perancangan pernikahan pasangan yang tidak kurang popularnya iaitu, Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang kini sedang menghitung hari.
Jika Neelofa memilih tema Jabal Rahmah di sebuah hotel antara yang termewah di ibu kota dengan limpahan dekorasi bunga segar sebanyak empat tan dan cenderahati berharga ratusan ringgit untuk semua tetamu jemputan, Uqasha pula memilih untuk diijabkabulkan di sebuah pusat peranginan di tanah tinggi!
Di mana ya? Kalau berdekatan Kuala Lumpur dan Selangor lokasi sebegitu hanya boleh dibilang dengan jari sahaja. Kalau bukan Genting Highlands, Cameron Highlands mesti Bukit Frazer, takpun Bukit Tinggi.
Kalaulah Kamal dan Uqasha tak jemput media atau memang nak adakan majlis tanpa pengetahuan media, jenuh juga media nak intip jejak mereka. Lenguhlah nak tekan gear daki bukit buat tinjauan.
Aduhai, minta simpang! Janganlah dibayangkan situasi sebegitu. Penulis percaya, pengurusan mana-mana artis popular sekarang sudah cukup bijak mengendalikan majlis patuh prosedur operasi standard (SOP). Jika tidak mahu senarai tetamu berkurang disebabkan kerusi untuk media, sediakan sahaja kenyataan akhbar lengkap dengan segala perincian.
Penulis bercakap melalui pengalaman. Benar, zaman untuk bertandang suka-suka ke majlis kenduri rakan artis ketika ini sudah berakhir. Selain faktor majlis hanya untuk keluarga dan kenalan terdekat, syarat ketat SOP bagi mengekang penularan Covid-19 juga harus dipatuhi.
Harap majlis pernikahan Kamal dan Uqasha akan berjalan sempurna dan bersih daripada onar langgar SOP.
Cukup-cukuplah kisah majlis dan perjalanan bulan madu artis selepas nikah menjadi bahan kecaman ramai.
Seperti yang terjadi kepada Neelofa. Dua hari lalu, polis pun sudah mengesahkan bahawa perjalanan rentas negeri selebriti itu bersama tiga lagi individu ke Langkawi atas urusan kerja, namun netizen tetap mempersoalkan alasan tersebut.
Tidak cukup dengan kenyataan polis, pihak Chatime pula mengeluarkan kenyataan bahawa selain Langkawi, lokasi lawatan kerja yang akan dikunjungi Neelofa dan Haris ialah Sungai Petani dan Kangar, Perlis sempena pembukaan cawangan baharu.
Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pergerakan Neelofa dan Haris atas alasan kerja.
Dari satu sisi lain, netizen mempersoalkan tergamak sungguh pihak Chatime sehingga menidakkan ‘cuti ihsan’ buat pengantin baharu. Baru sehari bernikah, terus dijemput terbang untuk urusan kerja. Tak bagi peluang langsung.
Ada juga yang kata, sebelum nikah tak ada pula cerita Neelofa berkunjung ke Chatime, alih-alih dah kahwin terus terbang ke Langkawi atas alasan sebegitu ‘kayangan.’
Sejujurnya, sejauh mana kebenaran dan seberapa banyak komitmen pengantin baharu itu terhadap urusan kerja berbanding bulan madu seperti kecaman umum, mungkin perkara tersebut hanya dipisahkan garis halus bersandarkan niat.
Untuk penulis, cukup-cukuplah usaha menjejaki pengantin baharu itu. Lepaskan seketika Neelofa dan Haris yang sambil menyelam ‘minum’ air bulan madu mereka itu, hilang gelap timbullah terangnya nanti.