LONDON – Dua kelab gergasi Turki, Besiktas dan Fenerbahce dilaporkan bersaing untuk mendapatkan khidmat penyerang Crystal Palace, Christian Benteke pada jendela perpindahan nanti.
Benteke, 30, bakal menamatkan kontrak selama lima tahun di Selhurst Park pada penghujung musim ini dan tidak ada tanda-tanda bahawa dia akan diberikan kontrak baharu untuk terus kekal bersama pasukan itu.
Pemain kelahiran Zaire itu beraksi di England untuk tempoh 10 tahun apabila memulakan karier bersama Aston Villa selepas berhijrah dari kelab Belgium, Genk pada musim panas 2012.
Selepas berjaya meledak 49 gol dalam 101 penampilan untuk semua kejohanan, khidmatnya disambar oleh Liverpool pada Julai 2015, namun hanya kekal di Anfield untuk semusim apabila sekadar meledak 10 gol dalam 42 aksi sebelum berkelana menyertai Palace.
Kelab dari selatan London itu membayar sebanyak £27 juta (RM153.97 juta) untuk khidmatnya tetapi dia gagal untuk mempamerkan aksi terbaik selepas sekadar meledak 28 gol dalam 138 perlawanan sepanjang lima musim di kelab itu.
Sebelum ini, pengurus West Bromwich Albion, Sam Allardyce berminat untuk membawanya ke The Hawthorns pada Januari lalu tetapi Benteke mendedahkan bahawa dia lebih minat untuk meneruskan kariernya di luar England.
Perkembangan itu menyaksikan dua pasukan yang berpangkalan di Istanbul memasang rancangan untuk mendapatkan khidmatnya. – AGENSI