SEPANG – Lima sekeluarga sempat menyelamatkan diri sebelum kediaman mereka di Kampung Ginching Hulu, Jalan Ali Budin dekat sini, musnah dalam satu kejadian kebakaran hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia KLIA, Timbalan Penguasa Bomba II, Khairuddin Jamaludin berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 12.26 tengahari itu melibatkan sebuah rumah kampung berkeluasan 464.5 meter persegi.
“Seramai 28 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan Cyberjaya bersama tiga jentera dan satu unit EMRS diarah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak di bahagian ruang hadapan rumah.
Katanya, bagi mengelakkan api terus merebak ke bahagian belakang rumah, kerja-kerja pemadaman terus dilakukan dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 2.45 petang.
“Kebakaran itu telah memusnahkan 70 peratus bahagian ruang tamu dan berdasarkan maklumat awal, terdapat lima sekeluarga dalam rumah ketika kejadian berlaku.
“Lima sekeluarga itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Menurut beliau, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-K!ONLINE