Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menyasarkan lebih 5,000 pembayar zakat perniagaan berdaftar dalam direktori Bizzakat dalam tempoh dua tahun bermula tahun ini selepas penjenamaan semula portal bekenaan.
Pengurus Besar PKZ Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, sehingga kini terdapat 2,584 peniaga terdiri daripada pembayar zakat perniagaan dan usahawan asnaf berdaftar dengan portal berkenaan.
“Bilangan ini dijangka bertambah lebih 1,000 lagi dalam masa terdekat selepas maklumat mengenai perniagaan tersebut dikemaskini manakala selebihnya selewat-lewatnya pada penghujung 2022,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Portal Bizzakat yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara sidang video di Pejabat PKZ Pahang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Halidan berharap portal berkenaan dapat membantu para peniaga khususnya pembayar zakat perniagaan di negeri ini menunaikan kewajipan mereka.
“Selain itu, kita juga membuka pendaftaran kepada peniaga yang belum mendaftar sebagai pembayar zakat sekali gus membantu meningkatkan kemampuan mereka untuk membayar zakat perniagaan pada masa akan datang.
“Kita juga akan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan yang mempunyai usahawan bimbingan bagi mendaftarkan perniagaan mereka dengan portal terbabit,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, portal Bizzakat dapat membantu mempromosikan perniagaan Islam yang bukan sahaja halal tetapi membabitkan peniaga yang membayar zakat perniagaan.
Ujar beliau kerajaan negeri juga melihat portal Bizzakat berpotensi untuk membantu merancakkan industri pelancongan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – K! ONLINE