KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa membuat pemantauan terhadap tindakan individu menyalahgunakan surat kebenaran majikan untuk merentas negeri dengan berbulan madu atau bercuti.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, isu berkaitan salah guna surat majikan untuk rentas negeri menjadi perbualan hangat akhir-akhir ini namun isu tersebut masih terkawal.
“Kita sentiasa pantau isu ini dan taktik berkenaan sudah dikesan polis sejak tahun lalu. Kita juga telah melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahguna surat kebenaran untuk merentas negeri sebelum ini.
“Surat itu bertujuan memberi kebenaran untuk rentas negeri atas urusan kerja, namun ia digunakan bagi tujuan lain,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial gambar individu dipercayai Neelofa dan suaminya, Haris Ismail, yang berada di Langkawi sehingga menimbulkan pelbagai persepsi termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu.
Kosmo! hari ini melaporkan polis mengesahkan telah memberi kebenaran kepada selebriti terkenal Neelofa bersama tiga lagi individu untuk ke Langkawi atas urusan kerja.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, berdasarkan permohonan yang dibuat oleh wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di sini mendapati, tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit ke Langkawi adalah atas urusan kerja bukannya untuk berbulan madu.
Katanya, berdasarkan permohonan berkenaan, kesemua mereka dibenarkan pergi ke lokasi tujuan bermula 27 Mac hingga 4 April 2021. – K! ONLINE.